no comments

Filem ‘Beauty and The Beast’ Kini Dibenarkan Tayangan

Filem ‘Beauty and The Beast’ Kini Dibenarkan Tayangan Di Malaysia

Filem ‘Beauty and the Beast’, akhirnya dibenarkan ditayang di Malaysia.

Filem terbitan Disney itu sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila disekat tayangannya kerana didapati ada agenda homoseksual.

Menurut satu kemas kini status di Facebook rasmi rangkaian pawagam GSC, mengesahkan ia bakal mula ditayangkan di seluruh negara pada 30 Mac ini, lapor Astro Awani.

Status itu juga memaklumkan, tiada suntingan dibuat pada filem berkenaan dan akan diklasifikasikan dengan rating P13.

Namun begitu, mereka yang telah membuat tempahan tiket masih perlu menuntut wang mereka kerana pihak pengurusan pawagam tidak menyediakan tukaran wang untuk waktu dan tarikh tayangan baharu.

Jualan tiket untuk tarikh tayangan baharu juga belum dibuka dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Beauty and the Beast mencetuskan kontroversi selepas pengarahnya, Bill Condon berkata kepada majalah Attitude bahawa watak Le Fou, yang dimainkan oleh Josh Gad, diberi “momen gay yang eksklusif” dalam filem itu.

Diadaptasi dari filem animasi tahun 1991, filem terbaharu ini berkisarkan kisah seorang wanita yang cantik dan gemar berdikari, Belle yang ditawan oleh si hodoh, Beast di sebuah istana.

Ia menampilkan barisan pelakon seperti Emma Watson, Ewan McGregor, Gugu Mbatha-Raw, Ian McKellen dan Stanley Tucci.

Astro Awani

Reply