no comments

Rupanya Ini Sebab Kenapa Farid Kamil Buat Report Polis!

Selepas dibebaskan, pelakon kontroversi, Datuk Farid Kamil telah memuatnaik satu foto yang menunjukkan dirinya yang berada di hadapan Balai Polis Mutiara Damansara hari ini.

Foto itu juga memaparkan Farid memegang satu salinan laporan polis dan meminta orang ramai mendoakan niat baiknya itu, tulisnya di instagram. Bagaimanapun, tujuan dan isi kandungan laporan itu tidak didedahkan lalu menimbulkan persoalan ramai.

Namun, teka-teki laporan polis oleh pelakon Datuk Farid Kamil terjawab apabila satu sumber mendedahkan bahawa ia tidak ada kena mengena dengan sebarang kes jenayah. Sebaliknya, laporan tersebut dibuat berhubung hal rumah tangga dengan isterinya, Datin Diana Dianelle.

Menurut sumber tersebut, Farid, 37, memohon untuk membenarkan adiknya, Anis Anwar Zahari untuk masuk ke kediaman di Casa Tropicana, Damansara untuk mengambil barang peribadinya di sana.

Pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba tersebut turut memaklumkan di dalam laporan itu bahawa kedua-dua anaknya iaitu Muhammad dan Aurora berada dalam jagaannya pada malam laporan dilakukan.

“Tujuan Farid membuat laporan polis ini sebagai langkah berjaga-jaga supaya sebarang tindakannya termasuk membenarkan adiknya memasuki rumah tidak dianggap menceroboh.

“Mengenai anak-anaknya pula, laporan tersebut membuktikan dia tidak melarikan mereka daripada jagaan Diana,” ujar sumber tersebut.

Laporan tersebut juga bukan dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara, sebaliknya di Balai Polis Pantai, Lembah Pantai pada 18 Januari lalu.

“Farid telah membuat laporan awal di Balai Polis pada 18 Januari lalu, namun kes itu dirujuk ke Balai Polis Damansara kerana berdekatan dengan kediamannya,” tambah sumber tersebut lagi.

Sekitar pukul 1.40 petang tadi, Farid memuat naik sekeping gambar di Instagram sambil memegang laporan polis berlatar belakangkan Balai Polis Mutiara Damansara.

Status yang dimuat naik itu mendapat perhatian peminat serta rakan artis yang dilihat memberi sokongan kepadanya.

Sebelum itu, Farid dilihat mula aktif di laman sosial berkenaan sejak dua hari lepas dengan mempromosikan drama terbaharu lakonannya berjudul Lafazkan Kalimah Cintamu yang sedang bersiaran di Astro Ria sejak 15 Januari lalu.

Terdahulu, Farid menggemparkan dunia hiburan apabila dia menampar seorang anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara, Selangor pada 11 Januari lalu, selain disahkan positif dadah jenis ganja.

Farid, sebelum itu ditahan reman selama lima hari bagaimanapun mengaku tidak bersalah di mahkamah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis dan menendang dua orang awam.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac hadapan untuk sebutan semula kes.

Kosmo Online

Reply