Patutlah! Rupanya Ini Punca Sebenar Kenapa Farid Kamil Serang Polis & Orang Awam
Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Dato’ Dr Zahari, yang ditahan selepas bertindak menampar anggota polis dan menendang dua orang awam di kaunter trafik Balai Kota Damansara hari ini, disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata saringan kencing yang dijalankan terhadap suspek selepas dia ditahan, mendapati suspek positif jenis ganja.
“Sebaik sahaja polis menahan suspek, ujian air kencing dijalankan bagi mengesan sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah.
“Hasil ujian terbabit mendapati dia positif dadah jenis ganja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu, pelakon terbabit dilaporkan datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan satu kemalangan jalan raya.
Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.
Dia juga turut menendang kaki orang awam yang berada dalam balai sebelum ditahan beberapa anggota polis lain.
Siasatan awal mendapati suspek datang ke balai bersama seorang rakan untuk membuat laporan polis kes kemalangan jalan raya, namun apabila anggota trafik bertanya laporan yang ingin dibuat, suspek menunjukkan mesej aplikasi whatsapp 300 artis hutang ah long.
Mohd Zani berkata, susulan kejadian itu, suspek kini disiasat kerana berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis mengikut Seksyen 90 Akta Polis serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.
Katanya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok, bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi akan meneliti secara terperinci kes penahanan polis membabitkan pelakon bergelar Datuk itu.
Zed Zaidi menjelaskan pihaknya tidak boleh mengambil tindakan segera kerana kes itu membabitkan polis dan pihak lain.
“Beri kami (Seniman) masa untuk membuat siasatan lanjut atas apa yang berlaku. Kami tidak boleh terburu-buru untuk ambil sebarang tindakan. Dalam perkara ini, kami perlu mendapat maklumat daripada semua sudut kerana ia membabitkan polis,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Zed, Seniman akan memaklumkan sebarang maklumat terkini secepat mungkin selepas berjaya mendapat hasil siasatan terperinci.
“Seniman akan cuba membantu apa yang perlu untuk Farid sebaik saja selepas kami mendapat hasil laporan siasatan dilakukan.
“Apapun, Seniman tetap prihatin dalam apa jua masalah membabitkan artis tempatan meskipun hal yang kecil,” katanya.
–Berita Harian Online, Hmetro