no comments

Dituduh Songlap Duit, Ini Penjelasan Padu Dari Pengetua.. Kenapa Duit Derma Masih Tak Diterima Keluarga

Tragedi kebakaran tragis yang meragut 23 nyawa pelajar tahfiz dan guru pada September lalu pasti tidak akan hilang dari ingatan keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.

Kes yang menggemparkan negara itu mendapat perhatian seluruh pihak, dan ramai yang tampil menghulur sumbangan. Namun dilaporkan, ahli keluarga mangsa dikatakan masih tidak menerima sumbangan itu lagi walaupun satu sen.

Berikutan itu ada pihak cuba memburukkan pengetua dengan menuduhnya songlap duit sumbangan derma yang dikatakan nilainya melebihi RM1juta ringgit.

Bagaimanapun, Pengetua Tahfiz Darul Quran Ittfaqiyah, Ustaz Mohd Zahid Mahmood tampil menyangkal tuduhan liar itu dan memperjelaskan alasan kenapa keluarga mangsa kebakaran masih belum menerima sumbangan derma tersebut.

“Saya sedih apabila dituduh cuba menggelapkan wang sumbangan diterima daripada orang ramai, padahal saya sudah melantik juruaudit bertauliah bagi mengemaskini wang diterima,” kata Pengetua.

Urusan mengenai wang sumbangan sudah diserahkan kepada juruaudit dan ia mengambil masa sebelum pembahagian dilakukan kepada waris.”

Katanya lagi, tidak timbul isu pihaknya cuba melambatkan proses pembahagian dengan alasan mahu menyeleweng wang diterima berikutan pembahagian hanya boleh dibuat selepas audit selesai dijalankan.

Saya tak pasti bila audit akan selesai sebabnya bukan bidang kerja saya. Cuma, apa yang boleh saya maklumkan adalah kami akan berbincang mengenai peratusan pembahagian pula sebaik proses itu selesai.

“Hanya selepas itulah baru kami panggil semula waris untuk proses pembahagian yang akan disaksikan peguam bagi mengelak sebarang isu berbangkit,” katanya.

 

Menurut pengetua, proses audit ini mengambil masa kerana sumbangan diterima dipecahkan kepada dua bentuk sumbangan.

Dua bentuk sumbangan itu membabitkan sumbangan dikongsi antara pusat tahfiz dan waris, manakala satu lagi sumbangan pula memang untuk waris, tetapi diserahkan kepada pihaknya.

“Bagi sumbangan yang dikongsi antara pusat tahfiz dan waris, sepatutnya dibahagi sama rata. Tapi hasil perbincangan, sumbangan itu akan dilebihkan kepada keluarga mangsa dan pusat tahfiz hanya mengambil sedikit bagi pembangunan semula dan pengurusan.

“Sumbangan untuk mangsa tapi diserahkan kepada pihak kami untuk uruskan pembahagian. Wang ini kita (pusat tahfiz) tak boleh ambil. Namun sebelum diserahkan, jumlahnya juga perlu dikenal pasti dan dibahagi secara adil kepada keluarga mangsa kerana membabitkan soal amanah.”

“Dalam perjumpaan bersama beberapa waris sebelum ini pun, saya tegaskan ia mengambil masa kerana soal duit ini bukan boleh dibuat sambil lewa kerana membabitkan proses perundangan berikutan jumlahnya besar dan membabitkan banyak pihak,” katanya.

Sehubungan itu, pengetua menyeru keluarga mangsa untuk bersabar serta berbincang dengan pihak pengurusan tahfiz terlebih dulu sebelum membuat sebarang tuduhan tidak berasas.

Sementara itu, keluarga salah seorang mangsa tersinggung dengan kecaman netizen yang menganggap waris tidak sabar untuk menerima wang sumbangan yang disalurkan kepada pusat tahfiz itu.

“Saya mewakili keluarga dan waris mangsa kebakaran ini meminta supaya jagalah sensitiviti kami yang masih sedih.

“Cukuplah mengeluarkan kata-kata yang tidak bagus kepada kami selaku keluarga mangsa tragedi. Kalau tak betul jangan war-warkan dengan tuduhan waris tak sabar mahukan wang hasil derma orang ramai.

“Kalau kami tidak sabar nakkan wang sumbangan itu pun, ia tak mampu kembalikan anak-anak kami. Cuma kami harapkan janganlah menambahkan lagi kesedihan dan tekanan ini,” rintihnya.

-HMetro, mStar Online

Reply