Ini Tindakan Mengejutkan Pemilik Dobi ‘Mesra Muslim’ Selepas Disound Sultan Johor
Gara-gara ingin menjaga kesucian buat pengguna islam, pemilik kedai dobi ‘mesra muslim’ yang berpengkalan di Muar Johor mendapat berbagai kecaman dan kritikan hebat dari pelbagai pihak.
Lebih malang, ia sampai ke pengetahuan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Pemilik kedai dobi yang mencetuskan kontroversi itu, bagaimanapun akur dengan titah Sultan Johor berhubung tindakannya meletakkan papan tanda untuk Muslim sahaja.
Pemilik kedai dobi berkenaan menyatakan kesungguhannya itu dengan menarik semula papan berkenaan.
“Saya akur dengan titah tuanku (Sultan Ibrahim) dan sudah menarik semula papan terbabit,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Beliau yang enggan nama disiarkan juga memohon maaf kepada Sultan Ibrahim, penduduk Johor serta seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perkhidmatan yang ditawarkannya.
“Saya memohon maaf kepada Tuanku, rakyat Johor atas apa yang berlaku dan berharap kekecohan selama beberapa hari ini akan reda. Saya sudah tidak menggunakan papan tanda berkenaan.
“Saya memang tiada niat untuk menjadikan isu ini suatu perkara yang besar.” katanya.
Sebelum ini, Sultan Johor menerusi laporan eksklusif sebuah akhbar berbahasa Inggeris dilapor murka serta menitahkan supaya kedai dobi hanya untuk Muslim di Muar supaya segera menghentikan amalan diskriminasi atau baginda sendiri akan menutup perniagaannya.
“Beta tidak boleh terima perkara mengarut seperti ini. Ini adalah negeri Johor, negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama. Negeri ini adalah progresif, moden dan bersederhana.
“Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis,” titah baginda.
Baginda dilapor turut menitahkan pengerusi jawatankuasa hal ehwal Islam, Abdul Mutalib Abd Rahim, Majlis Agama dan Majlis Daerah untuk menyiasat perkara itu.
Isu berkaitan dobi berkenaan menjadi tular minggu lalu apabila ia dikhaskan kepada pelanggan Islam saja.
Berdasarkan gambar yang tular di laman sosial, tertera perkataan “Untuk Pelanggan Beragama Islam Sahaja dan Kasut Sila Tanggalkan Di Luar” pada papan tanda terbabit.
–HMetro, Mstar