no comments

Tindakan Pantas Isteri Menyelamatkan Dirinya… Doakan Untuk Saleem!

Raja Balada era-90an, Saleem, kini terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), sejak dimasukkan pada Rabu lalu selepas mengalami sakit kepala kronik.

Namun begitu, penyanyi berusia 56 tahun yang popular dengan lagu ‘Suci Dalam Debu‘ dan ‘Hakikat Sebuah Cinta‘ itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan selama beberapa hari.

Saleem yang pada mulanya enggan menghebahkan kemasukannya ke hospital itu berkata, beliau bukan mahu menyembunyikan kesakitan dialami, tetapi baginya ia hanya sakit kepala biasa akibat tidak cukup rehat.

“Saya akui terlalu sibuk dengan undangan persembahan dan kerap berulang-alik ke Sabah, sejak akhir-akhir ini. Saya baru saja pulang ke ibu kota selepas hampir dua minggu mengikuti siri jelajah ke kawasan pedalaman di Sabah. Ia antara punca saya kurang rehat.

“Pada mulanya saya tidak menghiraukan sakit kepala ini, biarpun seumur hidup tak pernah mengalami kesakitan sebegini. Kepala saya rasa macam hendak pecah.

“Bagaimanapun, isteri, Juriah atau Julia Bachok berasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila saya hampir kemalangan ketika memandu kereta. Lebih menambah kerisauan apabila dia melihat keadaan saya seperti lemah dan tidak bermaya ketika itu,” katanya.

Kata Saleem, tindakan pantas isteri menghantar beliau ke hospital menyelamatkan dirinya.

“Pemeriksaan doktor mendapati ada ketulan darah beku di kepala kerana kekurangan oksigen,” katanya yang kelihatan sihat dan berselera makan ketika ditemui di pusat rawatan itu.

Penyanyi kelahiran Setiu, Terengganu, itu berkata pada awalnya beliau memang terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor mengenai keadaannya.

“Saya takut jika ada ketumbuhan, kanser atau penyakit kronik lain. Bagaimanapun, ketulan darah beku itu timbul kerana kekurangan oksigen. Alhamdulillah, saya kini berasa lebih sihat dan tidak lagi sakit selepas diberikan oksigen serta ubat.

“Doktor turut menasihatkan saya berehat di hospital dulu supaya badan benar-benar mendapat oksigen mencukupi,” katanya.

BHarian

Reply