no comments

‘Setiap Masa Doakan Jasad Anak Dijumpai’ – 5 Tahun Tak Jumpa..Tiba-tiba Dikejutkan Berita Dia Hilang Di Laut

“Lima tahun mak cik menunggu kepulangan dia yang bekerja di Australia demi mencari rezeki. Sepatutnya dia pulang ke tanah air September ini. Namun, kami sekeluarga dikejutkan dengan kejadian Nik Hafizi terjatuh dan dibawa arus laut.”

“Hampir sebulan anak saya hilang di laut dan sehingga kini jasadnya belum ditemui.

“Setiap kali solat, saya tidak pernah putus mendoakan supaya kematian anak saya bertanda walaupun tidak dibawa pulang ke tanah air,” luah Rosidah Abdul Manaf.

Anaknya, Nik Hafizi Nik Long, 25 tahun tergelincir jatuh sebelum dibawa arus di laut Little Beach, New South Wales, Australia, 29 Ogos lalu.

Rosidah berkata, sehingga kini dia masih berharap jasad anak anak kelima daripada lapan beradik itu ditemui, walaupun mengakui agak sukar kerana hampir sebulan sudah berlalu.

“Sehingga kini, segala maklumat disampaikan oleh anak saudara saya yang berada di Australia. Pihak berkuasa di sana juga sudah menamatkan operasi selepas seminggu tragedi menimpa Nik Hafizi.

“Mak cik buntu memikirkan nasib yang melanda anak. Sudahlah jauh di negara orang. Apa yang saya mampu lakukan adalah berdoa dan terus berdoa supaya jasad Nik Hafizi ditemui,” katanya.

Dalam kejadian 2 petang waktu tempatan, 29 September lalu, Nik Hafizi dikatakan bersama lima sepupunya ke lokasi berkenaan untuk memancing sebelum tergelincir dan dibawa arus.

Rosidah berkata, mereka sekeluarga turut mengadakan solat hajat bagi memudahkan segala urusan yang menimpa anaknya.

“Sejak kejadian itu, kehidupan mak cik berubah seratus peratus kerana tiada lagi panggilan telefon daripada Nik Hafizi setiap minggu seperti kebiasaan.

“Mak cik terlalu rindukannya kerana sudah lima tahun tidak berjumpa. Ada kalanya jika duduk keseorangan, mak cik menangis kerana mengenangkan nasib menimpa anak.

“Justeru, saya meminta doa seluruh rakyat Malaysia supaya mendoakan jasad anak saya ditemui dalam masa terdekat,” katanya.

“Besar harapan mak cik supaya jasad Nik Hafizi ditemui walaupun sudah tidak bernyawa. Mak cik terlalu merinduinya kerana selama lima tahun, kami hanya berhubung menerusi panggilan video.

“Kali terakhir mak cik berhubung dengan Nik Hafizi pada 20 Ogos lalu dan setiap kali berhubung, Nik Hafizi tidak pernah lupa bertanyakan khabar mak cik dan sering berpesan supaya menjaga adiknya dengan baik.”

Beliau berkata, walaupun hasrat untuk menyentuh jasad anaknya buat kali terakhir mungkin tidak kesampaian kerana sukar untuk dibawa pulang, sekurang-kurangnya dia mahu melihat jasad Nik Hafizi ditemui.

“Mak cik reda andai katanya jenazahnya tidak mampu dibawa pulang, namun melihat jasadnya ditemui sudah memadai buat mak cik.

“Nik Hafizi seorang anak yang baik dan rajin bekerja. Setiap bulan dia tidak pernah lupa untuk mengirimkan wang kepada mak cik,” kata ibu berusia 54 tahun itu.

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close