no comments

Dituduh Dalang PECAT Kartunis Ujang, Kenyataan Balas BOS Upin & Ipin Ini MENGEJUTKAN!

 

Dituduh Dalang Pecat Kartunis Ujang, Kenyataan Balas BOS Upin & Ipin Ini MENGEJUTKAN!

Bos besar merangkap Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, menyangkal dakwaan bahawa pihaknya mengeluarkan arahan supaya kartunis Ujang dipecat dari syarikat penerbitan majalah komik Upin & Ipin.

Memetik laporan Malaysiakini, katanya, perkara itu timbul selepas pemilik Syarikat Nyla Sdn Bhd, Tunku Maziah Tunku Mukhtar meminta nasihatnya berikutan jualan komik kanak-kanak itu merosot berbanding sebelumnya.

“Sejak dua bulan lalu isi kandungan Upin & Ipin banyak menyimpang, kami dapati ia tidak mempunyai kaitan dengan kanak-kanak malahan terdapat cerita memasak pula di dalamnya.

“Sebagai pengeluar komik, dia patut bagi cadangan bagaimana hendak naikkan edaran. Tetapi apabila dia balik dan kembali semula selepas itu, dia memberitahu, penasihat kata jangan ubah apa-apa.

“Kami tidak suruh (arah pecat), tetapi kalau sudah tidak boleh menasihat, tidak perlu jadi penasihat. Itu yang dia balik dan buang Ujang dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Nyla Sdn Bhd adalah penerbit bahan-bahan bacaan bercetak yang menggunakan cerita dan watak-watak dari siri animasi Upin & Ipin dengan izin berlesen dari Les’ Copaque.

Burhanudin berkata, hingga kini peranan sebenar Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon di syarikat berkenaan tidak diketahui sepenuhnya.

Malah, pelantikan Ujang sebagai penasihat juga tidak dalam pengetahuan Les’ Copaque.

“Kami (Les’ Copaque) beri lesen kepada Nyla Sdn Bhd. Tetapi kami memantau segala isi kandungan dan kebanyakannya kami bagi. Sebelum diterbitkan, mesti hantar pada kami untuk diluluskan, itu adalah prosesnya.

“Saya tidak tahu Nyla menggunakan Ujang sebagai penasihat kerana tidak terbabit dalam hal ehwal dalaman.

“Komik pula tidak memerlukan pelukis kerana hanya menggunakan tangkap layar daripada Upin & Ipin dan kemudian ditambah dialog,” katanya.

 

Bagaimanapun, Burhanudin berkata dia tidak bersetuju dengan tindakan memecat Ujang serta merta.

Menurutnya, sebelum menamatkan perkhidmatan seseorang pekerja, Nyla seharusnya menggunakan budi bicara dan mengambil langkah sewajarnya terlebih dahulu.

“Tidak patut buang orang (pekerja) 24 jam, kalau hendak buang kena ada budi bicara. Kami pun tidak buang orang dalam tempoh sebegitu. Mungkin Ujang tidak perlu dibuang tetapi ditempatkan di bahagian lain misalnya,” katanya.

Kartunis Ujang sebelum ini meluahkan di akaun Facebook miliknya selepas menerima notis pemberhentian 24 jam.

“Ujang menaikkan isu berkenaan di media sosial untuk dapatkan simpati orang ramai, dan Les’ Copaque pula mendapat nama buruk, kita jadi mangsa keadaan.

“Biarlah kami menunggu keadaan reda untuk memberi kenyataan lain, tetapi buat masa ini kami tidak mahu mengambil apa-apa tindakan kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan Burhanudin ini menimbulkan keraguan ekoran di laman sosial ketika ini tersebar gambar keakrab mereka berdua yang dirakam ketika berada di sebuah restoran.

Ditambah pula kartunis lagenda itu telah enam tahun berkhidmat sebagai penasihat dan editor di bawah syarikat naugan mereka.

“Pelik bila bos Les Copaque kata mereka tak tahu Ujang adalah penasihat komik Upin & Ipin. Dah 6 tahun kot. Gambar bersama pun ada,” soal netizen.

Sementara itu, netizen menyerang laman facebook rasmi syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd dan page animasi Upin & Ipin sebagai tanda protes. Rata-rata komen memboikot Upin & Ipin.

Malaysiakini

 

Reply