no comments

Demi Mengurangkan Diabetes, Kerajaan Akan Kenakan Cukai Minuman Soda – Tun M

Bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, kerajaan sedang menimbang untuk melaksanakan cukai ke atas minuman soda (bergas).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah wajar dikenakan cukai terhadap minuman soda atas faktor kesihatan rakyat.

Beliau berkata, kajian mendapati kadar penyakit diabetes yang begitu tinggi di negara ini adalah disebabkan pengambilan gula yang melebihi had dibenarkan.

“Kerajaan mendapati terdapat mereka yang mengambil minuman botol lebih dari enam kali sehari. Anda boleh minum air, tetapi jika anda mengambil minuman botol, kandungan gulanya begitu tinggi, sebab itu kami ingin mengurangkan penggunaan gula.

“Sebab apabila kami pergi hospital, orang datang untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit, tetapi bila diperiksa kesemua mereka ada diabetes,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Cities 4.0 + Business 4.0 di ibu negara hari ini.

Katanya lagi, cukai ini telah pun dilaksanakan negara maju seperti Denmark, Perancis dan United Kingdom.

“Kadar kencing manis di negara ini kerana kita ambil gula secara berlebihan. Terdapat rakyat Malaysia yang minum minuman ringan sehingga tujuh botol sehari. Ini tidak perlu, kita boleh minum air kosong,” katanya.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, mencadangkan supaya diperkenalkan cukai soda ke atas minuman berkarbonat bagi menampung hasil kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula berkata kerajaan perlu tampil dengan beberapa idea bagi menampung kekurangan hasil negara selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Mengulas perkembangan lain pada sidang media itu, Tun M berkata kerajaan tidak dapat memulakan tindakan undang-undang ke atas kehilangan bayaran balik hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sehingga terdapat bukti siapa yang bertanggungjawab meluluskannya.

“Individu yang meluluskan pembayaran itu sepatutnya tahu di mana wang berkenaan berada.

“Kita perlu mencarinya terlebih dulu, siapa yang bertanggungjawab. Selagi itu, kita tidak boleh mengambil tindakan undang-undang.

“Wang milik kerajaan perlu melalui beberapa proses. Anda perlu mengisi pelbagai borang dan mesti ada rekod pulangan,” katanya semasa ditanya jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu bertanggungjawab meluluskan wang bayaran balik GST dan LHDN.

“Kerajaan tidak berurus niaga dengan wang tunai. Wang hilang, disalah guna dan diseleweng, ia sepatutnya dipulangkan kepada rakyat dan diletakkan di dalam dana disatukan,” tegasnya lagi.

Reply