no comments

Dia Bukanlah Guru.. Tapi Sanggup Redah Air Banjir Hantar Bahan Latihan Pelajar, Kerani Muda Patut Raih Pujian

Bukanlah seorang guru, walaupun hanya bergelar kerani sekolah, Syafiq Shazwan Juhen, 22 tahun, tetap gigih membantu menghantar bahan latihan kepada 20 pelajar di sekitar kediamannya di Kampung Pituru Laut, Kota Belud, Sabah.

Malah, pemuda yang baru saja setahun bertugas sebagai pembantu operasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud, Sabah itu sanggup meredah tujuh kawasan banjir sejauh dua kilometer untuk tujuan itu.

Kecekalan Syafiq Shazwan memikul bahan latihan pelajar dan mengharungi air banjir itu dirakam rakan setugasnya Hamidah Kauli, 43, dan Josua Janoh, 27, baru-baru ini, yang kemudiannya dikongsikan di media sosial.

Video itu tular selepas dikongsi Hamidah di Facebook miliknya sehingga ditonton lebih 10,000 kali.

Syafiq Shazwan berkata, dia melakukan tugas itu secara sukarela demi membantu pelajar sekolah dalam sesi pembelajaran dalam talian, apatah lagi dalam musibah pandemik Covid-19 ini.

“Itulah kali pertama saya membantu menghantar bahan latihan sekolah kepada murid sekitar kampung kediaman.

“Nasib tidak baik apabila hujan lebat dan banjir di kawasan kampung saya tetapi niat saya kuat untuk menghantar bahan latihan terbabit pada hari itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia bekas murid SMK Pekan II Kota Belud dan kerana itu, dia memahami kesukaran pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di kampung itu.

“Rata-rata keluarga murid yang tinggal di sekitar kampung saya, tidak mempunyai telefon bimbit peribadi.

“Ada jaringan internet, namun kebanyakan penduduk di sini golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai video yang tular itu, Syafiq Shazwan berkata, ia diambil pada 7 Disember lalu.

“Kebetulan pada tarikh itu, sekolah ada mengumumkan untuk ambil bahan latihan.

“Jadi, saya memutuskan untuk membantu pelajar menengah rendah sekitar kediaman memandangkan minggu itu musim hujan.

“Kawasan yang dilalui itu juga, jika banjir besar dan hujan tidak berhenti akan memakan masa hampir seminggu untuk surut,” katanya.

 

Katanya, hujan lebat 7 Disember lalu itu menyebabkan banjir sehingga setengah meter dan keesokannya mencecah satu meter di kawasan kampung itu.

No Responses

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close