Hari Pertama SST, Topup Rakyat Ditolak Dari Jumlah Dibayar
Tampaknya permulaan perlaksanaan cukai SST pada 1 September 2018 dilihat tidak jauh beza dengan GST sebelum ini. Kaedah perlaksanaan SST ini adalah seumpama pengenalan GST beberapa tahun lepas oleh kerajaan terdahulu.
Perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang mula dikuatkuasakan ini pastinya membawa impak kepada sejumlah produk dan perkhidmatan yang digunakan. Salah satunya adalah termasuk untuk pengguna talian prabayar di Malaysia.
Perkhidmatan prabayar (Topup) dilihat tertakluk dibawah SST sebanyak 6%. Ini secara langsung turut memberikan kesan kepada tambah-nilai prabayar yang akan dibeli oleh pengguna.
Pelbagai syarikat telekomunikasi telah mengimplementasikannya dan mengaktifkannya bermula hari ini.
Dengan implementasi ini, pengguna akan perlu membeli tambah-nilai dengan denominasi sedia ada seperti RM10, RM30 dan sebagainya. Namun, nilai yang akan diterima atau dikreditkan ke akaun akan ditolak terlebih dahulu dengan cukai 6%.
Ini bermakna, sebagai contoh sekiranya anda membuat tambah-nilai RM10, maka anda akan menerima kredit RM9.43 – sementara RM0.57 akan dicukaikan.
Dengan perlaksanaan cukai SST yang baru dikuatkuasakan hari ini, sudah pastinya mendapat kritikan dan keluhan dari pelbagai lapisan rakyat. Topup yang menjadi keperluan buat pengguna abad ini, jika tiap kali dibeli, tiap kali dipotong, semestinya akan menjadi bebanan. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Pelaksaaan cukai GST sebelum ini juga turut terkesan buat rakyat untuk tambah-nilai prabayar. Namun begitu, disebabkan maklumbalas dan aduan pengguna sebelum ini, kerajaan terdahulu mengambil langkah untuk mengecualikan cukai GST untuk tambah-nilai (topup) buat sementara ketika itu.
Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata; “kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September bagi mengelak akaun semasa negara mengalami defisit.
Beliau berkata, negara akan mengalami kekurangan hasil sebanyak RM4 bilion jika SST tidak dilaksana dan ini akan memberi kesan yang besar kepada prestasi ekonomi kerajaan.
“Sekiranya kita tidak melakukannya, tidak ada pendapatan untuk membiayai perbelanjaan operasi seperti membayar gaji kakitangan kerajaan atau penyelenggaraan bangunan,” katanya.
Kerajaan berharap inflasi tidak akan melebihi dua peratus berikutan pelaksanaan rejim cukai tersebut.
“Tahun lalu, kadar inflasi kita berada pada 3.7 peratus, Tahun ini, kita gembira dengan dua peratus,” katanya.
Bank Negara Malaysia sebelum ini mengunjurkan tahap inflasi akan memurata antara dua dan tiga peratus.
Memandangkan jangkaan kutipan daripada SST dianggarkan RM21 bilion untuk setahun penuh, manakala hasil daripada GST dijangka menjana RM42 bilion, Lim berkata, kekurangan itu akan ditampung oleh pendapatan lebih tinggi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Khazanah Nasional Bhd, di samping mengkaji semula beberapa projek mega percuma kerana ia telah dinyatakan dalam undang-undang tersebut.”