‘Buku Merah’ Atas Meja Agong Bersama PM Jadi Perhatian. Rupanya Itu Adalah Buku….
Pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Yang Dipertuan Agong sememangnya dipandang serius. Apabila Ketua-Ketua negara duduk semeja, ia pasti akan membincangkan hal-hal penting.
Justeru, ada yang bertanya, nampak tak buku apa yang berada di hadapan YDP Agong sewaktu baginda menerima mengadap Perdana Menteri di istana baru-baru ini?
Yup, itu adalah buku Perlembagaan Persekutuan, siap dengan kertas catatan di antara helaian muka surat buku berkenaan.
Nampak jelas, walaupun kita yang marhaen ini menganggap Tuanku mempunyai kuasa ‘veto’ dan boleh membuat apa sahaja keputusan berdasarkan kedudukannya, tetapi baginda sendiri sebagai seorang yang adil, arif lagi bijaksana, tetap merujuk kepada undang-undang/Perlembagaan Persekutuan dan tidak ‘hentam keromo’ dalam menentukan apa yang terbaik untuk kita semua rakyatnya.
Justeru kalau ada yang masih menganggap kedudukan seseorang Yang Dipertuan Agong hanya sekadar ‘hiasan’ atau formaliti sahaja, anda silap besar.
Di bahu Tuanku ada satu beban dan tanggungjawab yang cukup berat di sebalik gahnya sebuah istana dan segala jenis penghormatan yang baginda miliki.
Letaklah kepercayaan dan kesetiaan kita kepada Tuanku, InshaAllah baginda akan membuat keputusan terbaik bersandarkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.
Jumaat lalu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang selama satu jam setengah dan dipersembahkan taklimat cadangan yang dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Baginda.
Permohonan Perdana Menteri ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.
Seterusnya, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam, untuk berbincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Muhyiddin dan hasil syura itu negara tidak diisytiharkan darurat selain menyarankan semua pihak termasuk Ahli Parlimen dan politik mengurangkan berpolitik untuk membantu Perdana Menteri menguruskan negara dalam waktu sukar Covid-19.
Baginda turut bertitah, Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen pada 6 November depan adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.