no comments

‘Bukan Senang Nak Dapatkan Cinta Suami Orang, Ini Yang Saya Kena Tanggung’- Zarina Zainuddin

Shah Alam- Pelakon senior 90-an Zarina Zainuddin mengakui bukanlah perkara yang mudah untuk mendapatkan cinta seorang lelaki yang sudahpun bergelar suami orang. Ini kerana pelbagai rintangan dan dugaan perlu dihadapi.

Pelakon yang popular dalam Drama Kisah Kaisara itu turut memberikan pesanan kepada wanita di luar sana supaya mengelakkan diri untuk jatuh cinta kepada suami orang, kerana kelak merana yang akan mengunjungi diri nanti.

“Bukan senang ye nak kahwin dengan laki orang ni, kalau boleh janganlah jatuh cinta pada laki orang sebab kesian kepada diri kita sendiri sebenarnya.

“Sebabnya peringkat awal kita kena hidup merana dulu. Bukan senang nak dapatkan cinta seorang lelaki yang dah jadi suami orang, sebab dia sudah ada istimewa sebenarnya tapi kerana dia baru dapat bunga baru konon-kononnya dia akan cakap kita ni pulak lagi indah” Ujar Zarina.

Zarina berkata demikian semasa menjadi panelis dalam program Mak Untuk Malaysia (MUM), ‘Korban Kasih Zarina Zainuddin’ yang telah ditayangkan di semua platform Sinar Harian Isnin yang lalu.

Program yang berjalan selama satu jam itu telah dikendalikan oleh Nor Azzura Azizul Azman sebagai pengacara.

Dalam perkongsian melalui program itu, Zarina turut meluahkan rasa ‘makan hati berulam jantung’ semasa menjadi isteri kedua kepada suaminya, ini kerana suaminya kurang menghabiskan masa bersamanya di rumah.

Tambahan lagi, kerana ingin ‘menjaga hati’ isteri pertama, Zarina hanya mendedahkan dirinya telah menjadi isteri kedua selepas usia perkahwinan mencecah 21 tahun.

“Makan hati berulam jantung. Bukan senang ye wahai akak-akak sekalian, sebab suami kalau dah kahwin dengan kita, dia akan cuba pujuk isteri pertama balik sebab dia akan rasa bersalah.

“Jadi kita lah yang akan makan hati nanti. Saya stress tapi perlu bersabar dan kuat. Alhamdulilah segalanya menjadi mudah dan bertambah baik selepas saya mengandung.

“Kebahagiaan itu kita yang cipta sebenarnya, kita boleh bina kebahagiaan kita sendiri. Jangan terlalu tamak sebab tahu saya ni hidup bermadu, maka saya perlu bersedia untuk berkongsi.

‘Saya cuba ambil hati suami, hati madu, walaupun kadang-kadang kita kena perli, kita kena terima. Ada orang yang marah sebab ambil suami orang, memanglah marah kan, jadi kita kena sedar diri, kita ni dah ambik hak orang, jangan lah pula kita ni melebih-lebih” Kongsinya yang kelihatan sebak dan telah menitiskan air masa semasa bercerita kisah hidupnya.

Zarina yang merupakan anak kelahiran Bota Perak itu berkata, dia meletakkan syarat kepada suami, kalau ingin berkahwin dengannya, dia perlu dapatkan dahulu kebenaran dari isteri pertamanya.

“Saya sendiri taknak kahwin dengan laki orang dan digelar perampas. Jadi saya dah kata kepada suami, kalau ikhlas, bawalah Ina (Zarina) dibawa berjumpa dengan isteri pertama abang.

“Saya cakap dekat suami, saya sendiri yang akan minta izin dengan isteri abang. Kalau tak diizinkan, saya tidak akan kahwin dengan suami orang, kongsinya lagi.

Zarina menyifatkan suami yang telah dikahwini lebih 20 tahun itu adalah seorang lelaki yang budiman kerana berani membawanya untuk memohon izin dan bertemu dengan isteri pertama.

Zarina berkata, selepas perjumpaan dengan isteri pertama itu, wanita berkenaan telah menelefon ibunya dan terus memberi keizinan kepada suaminya untuk berkahwin dengan Zarina.

Pendedahan yang telah dilakukan oleh Zarina Zainuddin ini cukup eksklusif kerana baru hari ini beliau berani berkongsi kisah kehidupan bermadunya kepada masyarakat. Buat suami diluar sana, jadikanlah kisah ini sebagai muhasabah dan berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk berpoligami. Hidup berpoligami bukan sekadar menambah isteri, tetapi banyak hati yang perlu dijaga, bukan sahaja hati isteri pertama tetapi juga hati keluarga sebelah isteri pertama.

Reply