no comments

Pecah Temberang! Budak Sekolah Tipu Diculik Van Putih, Tapi Rupa-Rupanya……

Tular dakwaan pelajar tingkatan satu yang mengatakan dia diculik tiga lelaki menaiki van putih ketika menunggu bas sekolah di hentian Taman Pandan Indah, pada Jumaat lalu, rupanya hanya rekaan cerita semata-mata.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata hasil siasatan mangsa mengaku mengadakan cerita kerana tertekan disuruh untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan mengurangkan bermain.

Katanya, mangsa turut menarik semula laporan yang dibuat di Balai Polis Pandan Indah.

“Tujuan pengadu mereka-reka cerita kerana tertekan tidak dibenarkan banyak bermain sebaliknya, perlu tumpukan perhatian pada pelajaran.

“Di sini, saya ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak cepat menyebarkan cerita yang tidak tentu kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, menerusi laporan polis yang tersebar di media sosial, pelajar itu mendakwa kononnya diculik tiga lelaki menaiki van putih ketika menunggu bas sekolah, kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketika berada dalam van itu kira-kira 10 minit, pelajar itu mendakwa menggigit tangan lelaki yang berada di sebelahnya, dipercayai untuk melepaskan diri, sebelum seorang lelaki yang duduk di tempat penumpang depan turun membuka pintu van.

Mangsa kemudian mendakwa menendang lelaki terbabit sebelum melarikan diri ke sekolah menaiki bas henti-henti.

Dia turut mendakwa mendapat kecederaan di tangan akibat terlanggar pintu sekolah.

Kes penipuan seperti ini bukanlah yang pertama kali berlaku di negara ini. Sebelum ini sudah banyak kes melibatkan pelajar sekolah (bawah umur) yang mendakwa dilarikan penculik, tetapi rupanya lari bersama teman lelaki. Menyusahkan pihak polis dan memalukan keluarga!

BHarian

Reply