no comments

Baru Nak Jemput Penceramah Beri Tazkirah, Bila Baca Mesej Dari PA Beliau ,Terkejut Tengok Permintaannya..

Melihat kepada situasi kesedaran beragama dalam masyarakat kita pada hari ini, ianya menunjukkan satu fenomena yang amat positif. Apabila semakin ramai yang mahu mengimarahkan masjid dan surau dengan program-program ceramah agama.

Tidak kurang juga, kawasan perumahan yang mengadakan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masyarakat dengan masjid atau surau.

Antara program yang sering diadakan ialah ajakan untuk menunaikan solat jemaah, kelas-kelas agama dan juga majlis ilmu yang meliputi kuliah agama dan ceramah jemputan dari para penceramah.

Dari usaha pihak pengurusan masjid dan surau, tidak kurang juga yang meraikan permintaan masyarakat untuk membawa para penceramah selebriti untuk hadir ke tempat masing-masing. Ini dapat menggalakkan jemaah-jemaah baru yang jarang hadir dapat menghadirkan diri dan menggunakan penceramah selebriti sebagai tarikan.

Namun dalam isu menjemput penceramah selebriti ini, timbul pula isu lain yang menjadi antara penghalang untuk direalisasikan. Isunya adalah tentang bayaran sagu hati yang dikenakan oleh penceramah jemputan tersebut.

Baru-baru ini tular di media sosial tentang pendedahan perbualan pihak penganjur dengan PA penceramah tentang permintaan bayaran yang dikenakan seperti dalam gambar ini.

Inilah antara kisah yang kurang enak didengar yang menjadi sisi gelap penceramah jemputan. Bila tersebarnya mesej seperti ini, netizen mula membuat pelbagai andaian negatif yang akhirnya membawa impak yang tidak baik terhadap imej para penceramah agama.

Kesan dari isu ini, seorang individu bernama Mohd Zahir Ghazali tampil memberi sisi pandang berbeza yang ada benarnya tentang realiti dunia hidup sebagai seorang penceramah agama.

Ustaz MohD Zahir Ghazali yang berlokasi di Sungai Petani Kedah telah membuat ulasan panjang di facebooknya untuk mengupas isu ini. Berikut adalah pandangan beliau.

Saya lihat screenshot perbincangan antara PA penceramah dan pihak penganjur antara yang viral sakan di medsos.

Bagi pandangan saya tak salah pun asatizah letak harga tapi kena berpada-pada. Jangan terlalu menampakkan kebendaan. Perlu juga berjihad dalam tajuk-tajuk dakwah juga penyebaran ilmu ini. Dari sudut yang lain pihak penganjur pun kena cakna juga. Kalau asatizah jemputan datang naik flight pergi-balik kadang lebih RM1k, hotel RM200 biasanya. Ada juga penceramah/pengkuliah sepenuh masa yang ada pembantu dan ada pejabat pengurusan yang ada kos selia.

Banyak juga kejadian berlaku yang seakan menzalimi asatizah. Ada kes asatizah dipujuk untuk hadir program oleh penganjur. Walau asatizah dah maklum tak sempat datang jarak jauh juga program yang padat.

Penganjur minta naik flight minta hadir juga. Tapi sagu hati yang diberi hanya 1/3 harga tiket sahaja. Ustaz terpaksa hutang kawan untuk beli tiket. Tapi diam sahaja takut dituduh mata duitan penunggang agama pula. Juga jangan mudah menuduh asatizah sebagai penjual dan penunggang agama. Hati-hatilah dalam memberi komen.

Ramai juga asatizah selebriti yang kaya raya bukan dengan kuliah atau ceramah pun tapi masing-masing ada yang punya bisnes sendiri. Macam motivator-motivator ceramah motivasi ada yang dapat belasan ribu RM untuk sehari-dua kendali kursus.

Berlaku kepada saya lebih 10 tahun lalu, dijemput kuliah ceramah di sebuah surau luar Kedah. Petrol, tol dan lain modal rasanya lebih dari RM200. Masa balik pihak penganjur bagi RM50 sagu hati. Saya bagi sahaja kepada pemandu yang tolong drive kereta saya. Tak kisah pun sebab ini juga jihad. Mudahan masyarakat dapat petunjuk dan kesedaran dari hasil usaha kita yang kecil ini. Tapi terfikir juga kalau ustaz-ustaz lain yang memang tidak ada pendapatan lain memang kesian la. Serba salah para asatizah yang terbabit.

Pihak penganjur dan para asatizah kedua-duanya kena rasional dengan situasi semasa. Para asatizah boleh maklum letak bayaran tapi berpada-pada, bukan niat untuk jadi kaya. Manakala pihak penganjur kena juga memahami realiti semasa. Ada asatizah full-time dengan kuliah. Ada masalah yang tak semua ustaz perlu ceritakan kepada penganjur. Tak perlu nak viralkan semua screenshot WhatsApp dengan PA penceramah untuk orang saling komen, hina menghina dan bergaduh di medsos. Tak setuju asatizah tu boleh cari yang lain. Insya-Allah ada hikmah. Semua benda nak viralkan..

Teringat pengalaman saya sendiri pernah menyampaikan kuliah mingguan dan bulanan di sebuah  pejabat jabatan kerajaan. Baca kitab Riadhul Solihin sahaja. Dah lama kuliah dan kenal ramai kakitangan dan staf. Last-last dapat notis tak perlu dah hadir sebab mereka dapat ustaz baru (ustaz selebriti yang ada nama).

Pegawai yang uruskan kuliah saya sejak lama, jumpa saya dan luahkan kesedihan juga marah-marah kepada boss dia. Bagitau itu keputusan boss mereka sedangkan boss tu tak pernah pun hadir kuliah yang diadakan. Ada kot faktor mungkin glamour nanti pejabat mereka diisi majlis oleh ustaz selebriti. Bos juga dapat nama.

Saya kata okey sahaja saya no problem, sebab saya tak pernah ambil bayaran pun walau seringgit sepanjang kuliah di situ. Hanya anggap jariah saya sahaja untuk isi ruangan dakwah. Saya pun tau mereka tak ada bajet banyak pun. Pejabat tu pun dah sedia maklum tak perlu apa-apa bayaran kepada saya. Kalau bagi pun saya akan serah balik untuk mereka buat aktiviti-aktiviti dakwah lain di pejabat. Saya ada bisnes sendiri insya-Allah boleh takat nak teruskan kehidupan.

Lepas tu beberapa bulan kemudian, saya bertemu staf pejabat tu di satu tempat secara kebetulan. Dia bagitau kuliah dah stop kat pejabat. Katanya ustaz selebriti yang ganti ustaz dulu mai sekali sahaja. Pejabat tak mampu bayar punya mahal. Siap dia tunjuk bukti kat handphone jumlah bayaran dekat RM5k sekali mai. Dok KL kot. Dia kata bos kami ingat free kot jemput semua asatizah macam Ustaz Zahir, cerdik sangat

Tergelak saya dan bagitau, saya pun dah penuh jadual kuliah dan program, dah ganti kat tempat lain. Cerita lama dulu, tiba-tiba sahaja teringat..

Lagi satu kejadian menyebabkan saya dimarahi hingga kini. Tindakan saya hanya bayar RM150 kepada ustaz selebriti yang menyampaikan ceramah. Kebetulan penduduk sebuah kampung minta bantuan jemput ustaz selebriti untuk berceramah di kampung. Kebetulan dia datang program di Kedah selama beberapa hari.

Tengok sebut harga boleh tahan, 4 angka. Orang kampung pakat kutip duit nak bayar sagu hati. Saya kata kat orang kampung, tak payah bayar banyak, bagi RM150 ja kat saya untuk saya urus. Lepas ceramah saya bagi sampul surat dengan isi RM150 sahaja kepada PA penceramah.

Bising la bila sampai kat di hotel tengok RM150, saya kata saya buat kiraan ustaz datang sini 3 hari, mula qiamullail, kuliah Subuh, kuliah dhuha di pejabat kerajaan, kuliah Zohor di pejabat kerajaan, kuliah Asar, Maghrib dan ceramah lepas Isya. Saya kata saya buat kiraan selama 3 hari ustaz selebriti di sini dah lebih RM20k dapat. Hotel tak sampai RM1k. Makan minum banyak tempat selalunya orang jamu.

Begitu juga kos PA, kenderaan dan lain-lain pengurusan.

Saya kata ceramah kat orang kampung kira jihad dah la. Marah dia tak puas hati tindakan saya… jumpa hari ni pun dah kurang senyum.

Tapi ada juga asatizah yang punya madrasah, tahfiz, sekolah anak yatim atau pusat-pusat kebajikan untuk dibiayai. Bukan untuk beliau secara individu. Yang ni sebaiknya diberi sokongan. Jadi sumbangan juga untuk pembangunan Islam.

Begitulah pendedahan Ustaz Zahir mengenai realiti sebenar perjuangan seorang asatizah yang mungkin kita boleh menilai semula, mana yang baik dan buruk. Pandangan beliau ini dapat menjernihkan semula pandangan orang awam mengenai penceramah selebriti ini. Ini kerana, kesannya mungkin terkena sekali kepada para penceramah yang kurang terkenal tetapi turut bergerak dalam aktiviti dakwah.

Mereka juga ada banyak kos yang perlu ditanggung, jadi menjadi tanggungjawab pihak penganjur untuk memahami situasi sebenar dan dapat uruskan dengan baik supaya kedua-dua pihak dapat menjayakan program dengan cemerlang dan memberi kesan positif kepada orang awam.

Reply