no comments

Bahasa Larangan: “Maha Firaun, F***katan, Umngok, Pascai” – SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengeluarkan senarai garis panduan “Bahasa Terlarang” untuk beberapa perkataan yang selalunya digunakan untuk mengutuk musuh politik.

Beberapa perkataan, yang biasanya digunakan oleh ‘jaguh siber’ dan ‘pahlawan papan kekunci’ di alam maya turut disenaraikan.

Ia termasuklah perkataan “Maha Firaun” yang digunakan untuk mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, “DAPig” untuk mengutuk DAP, “Umngok” untuk menghina Umno dan “Pascai” untuk menghina PAS.

Panduan itu disediakan oleh SKMM dengan bantuan Dewan Bahasa dan Pustaka, Lembaga Penapisan Filem, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dan Commercual Radio Malaysia (CRM).

“Menyedari kepentingan kesantunan bahasa dan usaha mempertingkatkan kualiti kandungan siaran dalam media penyiaran, rujukan industri ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman para pengaramal media penyiaran dalam penyelarasan tafsiran dan suntingan berkaitan penggunaan bahasa terlarang khususnya bahasa kasar, kesat dan lucah,” kata Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin.

Ia tidak menyebut secara langsung tindakan yang boleh dikenakan jika panduan itu dilanggar.

Bagaimanapun, menurut panduan itu, ia perlu dirujuk bersama peruntukan dan tiga lagi garis panduan lain, iaitu:

  • Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998
  • Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia
  • Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010

Laporan pada 4 Mei 2017, SKMM telah mengeluarkan garis panduan peringatan kepada pentadbir (admin) kumpulan aplikasi pesanan berhubung apa yang patut dan tidak dilakukan.

Garis panduan itu dikeluarkan susulan laporan eksklusif Berita Harian pada 27 April 2017 berhubung admin kumpulan WhatsApp berdepan tindakan undang-undang jika gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahli sehingga menggugat keselamatan negara.

Dalam laman web rasminya, SKMM menggariskan 12 panduan peringatan terhadap pentadbir kumpulan mengenai apa yang patut dan tidak patut dilakukan.

Antara lain, admin perlu memaklumkan kepada ahli kumpulan berhubung tujuan kumpulan itu diwujudkan dan memikirkan sama ada peraturan asas diperlukan.

Admin juga, katanya, perlu prihatin terhadap peraturan atau syarat penyedia platform.

“Admin perlu menegur posting atau komen untuk memastikan perbincangan berada di landasan yang betul dan sentiasa menyemak posting atau komen berkenaan.

“Admin juga wajar mempertimbang untuk mengeluarkan atau menyekat mereka yang terus membuat posting atau komen jelik, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan,” katanya.

SKMM mengingatkan semua pentadbir kumpulan supaya mengelak daripada menjadi pentadbir tidak aktif dan senyap.

Katanya, mereka tidak boleh melanggar garis panduan ditetapkan oleh penyedia platform seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.

“Admin tidak boleh menggalak, menghasut atau bersubahat terhadap komen jelik dan membenarkan perbincangan keluar daripada topik.

“Tidak boleh takut untuk bertegas dengan ‘troll’ atau dengan individu yang secara berterusan melanggar peraturan asas.”

Reply