no comments

Anwar Dakwa Ditawar Jawatan PM dan TPM

Baru-baru ini MP Port Dickson mendedahkan sesuatu yang mengejutkan di siaran langsung di Facebook miliknya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat(PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata beliau ditawarkan satu daripada dua kedudukan tertinggi negara jika dirinya menyertai kumpulan yang mengkhianati parti itu.

Sementara itu, beliau juga menolak spekulasi beliau mahu menjadi Menteri Besar Selangor.

Pada siaran langsung di Facebook, Anwar berkata jaminan telah dibuat kepadanya sekiranya beliau ingin bergabung dengan pihak berkenaan.

“Dalam keadaan sekarang kalau saya mahu, saya boleh pilih untuk menyertai (pihak berkenaan).

“Saya dapat jaminan kedudukan lebih baik. Kalau tak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri ada jaminan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Anwar beliau perlu membuat pilihan “berdasarkan prinsip.”

“Sudah umur begini dan pengalaman kecil ada, elok kita pilih jalan yang baik,” katanya lagi.

Beliau tidak menjelaskan siapa yang memberikan jaminan tesebut kepadanya tetapi membuat kenyataan itu ketika mengulas mengenai tindakan PKR terhadap pihak yang berpaling tadah daripada parti atau tidak lagi yakin kepada prinsip perjuangannya.

Sehingga kini, Presiden PKR itu masih lagi kekal menjadi “Bakal Perdana Menteri” setelah Kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir runtuh walaupun belum cukup satu penggal memerintah Malaysia.

Nama Anwar seringkali disebut-sebut sebagai pengganti Perdana Menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir namun impian itu tidak menjadi kenyataan sehingga hari ini.

Kini, Malaysia telah dipimpin oleh Perdana Menteri baru iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai blok kerajaan dalam Perikatan Nasional.

Reply