no comments

Status Mengejutkan Dr.MAZA Selepas Matinya Kassim Ahmad Anti Hadis

Status Facebook oleh Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin (DrMAZA) hari ini menerima pelbagai reaksi netizen selepas dilihat merujuk dengan kematian cendekiawan kontroversi, Dr Kassim Ahmad pagi tadi.

Dalam coretan ringkasnya, Dr.MAZA berkata; umat Islam perlu kepada hadis sebagai sumber rujukan, termasuk dalam mengetahui cara menguruskan jenazah.

“Pengurusan jenazah tidak disebut dalam Al-Quran secara terperinci. Cara pengurusan jenazah secara terperinci disebutkan dalam hadis-hadis Nabi.

“Maka, untuk menguruskan jenazah memerlukan hadis-hadis yang thabit dari Nabi. Ertinya, Muslim sebenarnya memerlukan hadis-hadis Nabi dalam banyak perincian amalan hidupnya,” tulisnya.

Ia mengundang pelbagai komen, termasuk yang mengkritik Dr MAZA kerana tidak menghormati kematian Kassim.

Kassim Ahmad meninggal dunia pada usia 84 tahun pagi tadi selepas koma, kurang sebulan selepas menjalani rawatan untuk jangkitan paru-paru dan injap jantung tersumbat pada 16 September.

Ketika hayatnya, Kassim mengundang kritikan agamawan kerana mempersoalkan kewibawaan hadis sebagai sumber Islam.

Kassim, penulis buku “Hadis: Satu Penilaian Semula” yang diharamkan pada 1986, kerap dilabel sebagai “anti-hadis”.

Tiga tahun lalu, arwah ditahan pihak berkuasa agama dan dibawa ke Kuala Lumpur untuk disoal siasat atas dakwaan menghina Islam.

Kassim didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya kerana kenyataan di sebuah seminar mengenai gagasannya yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah membebaskan dan melepaskan Kassim selepas mengarahkan tuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ditarik balik, selepas pihak pendakwaan meminta kes terhadap cendekiawan itu ditangguhkan kerana ketua pendakwaraya syariah belum dilantik.

FMT

Reply