no comments

Amaran Sultan Ibrahim Punca PH Gagal Ambil Alih Kerajaan Johor

Baru-baru ini ada ura-ura mengatakan bahawa kerajaan di Johor bakal berubah dan Pakatan Harapan(PH) bakal mengambil alih tampuk pemerintahan.

Namun, sehingga kini gerakan untuk ambil alih kuasa itu belum berjaya apabila mendapat amaran dari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pakatan Harapan (PH) berada di ambang gerakan mengambil semula kerajaan Johor daripada Perikatan Nasional (PN), kata seorang pemimpin PKR.

Menurut Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah, perancangan berkenaan tidak menjadi selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran untuk membubarkan dewan undangan negeri – bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan – jika perebutan kuasa berlaku.

Puah berkata demikian semasa menceritakan apa yang berlaku di Johor bulan lalu apabila wujud spekuliasi mengenai PH yang mendapat sokongan mencukupi bagi gabungan tersebut kembali menjadi kerajaan.

Menurut Adun Bukit Batu itu lagi beberapa wakil rakyat Bersatu sudah bersedia untuk kembali menyokong PH selepas berpaling tadah sehingga membolehkan PN menjadi kerajaan negeri.

“Sebahagian besar mereka adalah rasional, sama macam Dr Maszlee Malik. Adun itu tahu mereka mungkin sudah tak ada peluang untuk bertanding semula di kerusi masing-masing pada PRU akan datang jika terus bersama PN.

“Masa depan politik mereka menjadi pertimbangan utama (untuk kembali kepada PH). Mereka tahu adalah lebih baik untuk mereka bersama PH,” katanya.

Untuk rekod Maszlee ialah anggota parlimen Simpang Renggam yang memenangi kerusi itu bersama PH dalam PRU dua tahun lalu.

Bagaimanapun bekas ahli akademik berkenaan tidak menyertai kumpulan Muhyiddin Yassin untuk bersama Umno-BN sebaliknya kekal menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Kata Pah, beberapa orang Adun Bersatu mengadakan pertemuan dengan Mahathir dan pemimpin PH di Kuala Lumpur.

Menunggu perkembangan di pusat“Mereka mahukan lampu hijau daripada Mahathir supaya boleh bergabung dengan kami (PH).

Ketika gerakan untuk mengambil semula kerajaan negeri bersedia untuk digerakkan, kata Puah, pemimpin Bersatu meminta Mahathir memohon untuk mengadap Sultan Ibrahim.

“Mereka tak mahu perubahan (kerajaan) berlaku tanpa (restu) sultan, sebab itu mereka minta Mahathir memohon untuk mengadap dulu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Puah dua hari selepas pemimpin Bersatu meminta Mahathir mendapatkan restu istana, Sultan Ibrahim mengancam untuk membubarkan DUN Johor.

“Pada asasnya PH (Johor) bersetuju untuk mengambil alih kerajaan tetapi terhalang di peringkat akhir,” kata Puah.

Pun begitu Puah berpendapat ia bukanlah pengakhiran kepada PH kerana ia masih boleh berlaku jika perubahan kerajaan terjadi di peringkat pusat.

“Jika ada perubahan positif di peringkat nasional, maka kami (di Johor) boleh mengikut jejak langkah (perubahan) juga,” katanya.

Puah juga berkata ketika ini Adun Bersatu masih terbuka untuk berbincang dan menunggu perkembangan terbaru di peringkat pusat.

Apa-apapun kita sama-sama menunggu apa yang akan terjadi selepas ini.

Reply