[AL-FATIHAH] Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem MENINGGAL DUNIA
Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem dilaporkan telah meninggal dunia kira-kira jam 1.20 tengahhari tadi di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) Samarahan, akibat kompikasi jantung.
Adenan dimasukkan ke HUS, Kota Samarahan kelmarin selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.
Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian mengesahkan kematian Adenan kepada Sin Chew Daily dan berkata beliau akan mendapatkan lebih banyak butiran mengenainya daripada Pejabat Ketua Menteri.
Perkara ini juga turut disahkan beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih TS Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah. Saya akan ke Sarawak utk ziarah jenazah.
“Jasa Allahyarham kepada Sarawak amat besar. Malaysia kehilangan pemimpin berwibawa. Takziah kpd keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” demikian tulis beliau menerusi Twitter.
Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi posting di Twitter mencatatkan: “Takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga serta rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah.
Begitu juga, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
“Salam takziah atas kehilangan Ketua Menteri Sarawak. Alfatihah,” tulisnya di Twitter.
Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014, menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan.
Adenan yang dilahirkan pada 1944 sepatutnya meraikan hari lahirnya yang ke-73, dua minggu lagi iaitu pada 27 Januari ini.
Jenazah Tan Sri Adenan Satem akan dikebumikan esok selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Samariang, selepas disolatkan di Masjid Jamek Negeri.