no comments

[AL-FATIHAH] Jamal Asiarasa Meninggal Dunia

[AL-FATIHAH] Jamal Asiarasa Meninggal Dunia

Bekas anggota kumpulan duo Asiarasa, Jamal Manap, 55, meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini, malam tadi akibat pendarahan dalam kepala.

Jamal meninggal dunia pada jam 9.50 malam tadi di sisi keluarganya. Terdahulu Jamal ditemui tidak sedarkan diri di depan pintu bilik air di kediamannya di Taman Kosas, Ampang, di sini, pagi tadi.

Jamal yang tinggal bersendirian ditemui seorang pekerjanya yang tiba di rumah berkenaan untuk keluar berniaga pada jam 10.15 pagi.

Abangnya, Mohamad Sani, 57, berkata, adiknya dibawa ke Hospital Ampang, di sini, dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada dalam keadaan kritikal serta terpaksa bergantung dengan mesin bantuan pernafasan.

“Saya dan isteri tidak tahu kejadian sebenar kerana dia tinggal seorang diri. Pagi tadi apabila salah seorang pekerjanya tiba di rumah untuk pergi berniaga, dia mendapati Jamal tidak sedarkan diri dan terlantar di depan pintu bilik air sementara air gula yang dimasak juga sudah kering,”katanya yang tinggal bersebelahan rumah Jamal.

Jamal yang juga dikenali sebagai Papa J menganggotai Asiarasa bersama seorang lagi penyanyi iaitu Khalid Ahmad. Mereka yang bernaung di bawah Ciku Records milik Manan Ngah ketika itu popular dengan lagu Tanda Ingatan ciptaan komposer terkenal itu.

Menurut Mohamad Sani, Jamal sebelum ini pernah memberitahu kakaknya bahawa dia disahkan menghidap kanser.

“Dia seorang yang tidak suka berkongsi mengenai penyakit yang dialami kepada adik-beradik lain kecuali kakaknya.

“Baru-baru ini sikapnya sangat lain apabila memberitahu kakak dia tidak tahu berapa lama lagi akan hidup,” katanya.

Menurut Mohamad Sani, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, sebelum solat Zuhur, esok.

Hmetro

Reply