“Kau Ahli Neraka Tak Payahlah Pakai Tudung!” – Bila Dah Terbuka Hati Berhijab, Dituduhnya Macam tu…
Status agamanya dipersoal individu tidak dikenali menerusi laman sosial Instagram, seorang pelajar berdarah campuran Melayu dan Melanau yang baru saja berusia 16 tahun mengakui kecewa dengan tindakan individu berkenaan.
Menerusi mesej yang diterima, Elly Maysara Abang Fiqri, diberi amaran agar tidak memakai tudung seperti umat Islam, selain turut dilabel sebagai ahli neraka.
Kecewa dengan apa yang berlaku, dia menghimpunkan paparan skrin mesej indiviti tersebut sebelum menularkannya di Twitter bagi membuka mata pihak diluar sana agar tidak memainkan isu sensitif itu.
“Saya terima mesej tu pada hari rabu. Sebelum ni dia pernah DM, tapi saya tak layan. Tapi kali ni dah melampau, dia main bangsa dan cakap saya bukan Muslim.”
“Sebelum ini saya tidak bertudung, tapi saya dah terbuka hati untuk mula bertudung sepenuhnya sejak Ogos lalu.”
“Dia ingat saya bukan Muslim. Dulu dia DM cakap saya murtad. Saya dah sekat akaun itu. Sekarang ada balik, tapi saya tak pasti dia orang sama atau tidak,” ujarnya.
Mesra disapa Elly, dia mengakui kecewa dengan mesej berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu perbuatan melampau.
Jelasnya lagi, individu itu juga sepatutnya menyelidik terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Dia pernah cakap, kenapa pakai tudung kalau bukan Muslim? Kalau dah tahu Melanau kenapa nak pakai tudung? Dia siap minta kad pengenalan, lepas saya tunjuk bukti, dia diam.”
“Saya jelaskan, tak semua Melanau tu bukan Muslim. Kami di Sarawak banyak bangsa dan tak semuanya bukan Muslim. Kami banyak berdarah campuran.”
“Ada followers tunjuk pada saya, dia buat IG Story hina orang Melanau, cakap kami cetek akal dan duduk di pedalaman.”
“Saya kecewa sangat-sangat. Lain kali sebelum bercakap, selidik dahulu, bukan terus serang melulu. Memang saya sedih,” katanya.
Tambah Elly lagi, dia mahu individu itu mengambil iktibar dan berhenti melakukan perbuatan sedemikian. Malah katanya, dia bersyukur dengan sokongan yang diterima setelah perkara itu menjadi tular di Twitter.
“Mungkin dia tak tahu sebab tak pernah datang ke tempat kami. Saya nak educate orang diluar sana yang bangsa saya bukan hanya untuk non-muslim sahaja,” tegasnya.
Moral of story, jangan menghukum seseorang itu padahal kita tidak tahu hujung pangkal ceritanya.