Kes AGR: Gagal Reman! Yusuf Azmi & Abang Ali BEBAS Dengan Jaminan RM5,000
Gara-gara membantu mangsa penipuan mendapatkan semula kereta daripada sebuah syarikat pajakan kenderaan, dua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) didakwa hari ini.
Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM Ali Salimin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang, atas pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar dan menceroboh Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Julai lalu.
Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
Yusuf Azmi, 27 tahun dan ‘Abang Ali’, 50 tahun, didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13, Kajang pada 3.30 petang, 10 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan pencerobohan jenayah di tempat sama, antara 3.30 petang sehingga 7.30 malam, hari sama.
Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mereka dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM5,000 dan mahkamah menetapkan 24 November untuk sebutan semula.
Susulan itu, saudara Yusuf Azmi menganggap pertuduhan menceroboh dan perbuatan khianat itu, tidak meninggalkan kesan langsung kepada dirinya apabila kes tersebut dibawa ke mahkamah.
Beliau turut berasa pelik apabila seseorang yang memperjuangkan hak pengguna berhubung sesuatu isu ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.
PPIM dilaporkan berjaya membantu kira-kira 60 pemilik mendapatkan kenderaan masing-masing, namun berdasarkan aduan masih terdapat kira-kira 1,440 buah kereta dalam simpanan syarikat berkenaan.
Menurut ketua aktivs PPIM, Datuk Nadzim Johan, persatuan itu akan terus memburu sindiket skim pajakan kereta bagi membela nasib pengguna yang teraniaya.
Katanya, mengikut maklumat diperolehi masih banyak syarikat yang menjalankan aktiviti itu dengan pelbagai skala perniagaan.
PPIM juga mendakwa polis tidak mengambil tindakan terhadap aduan mangsa kereta pajak gadai di syarikat kenderaan itu.
–HMetro, Malaysiakini