Ada Wajah Wanita Lain Disebalik Potret Mona Lisa?
Imej sebuah potret telah dijumpai di bawah lukisan asal Mona Lisa dengan menggunakan teknologi pantulan cahaya, menurut seorang saintis Perancis.
Pascal Cotte menyatakan beliau telah menggunakan teknologi tersebut selama 10 tahun untuk menganalisis potret Mona Lisa.
Beliau berkata terdapat satu lagi potret yang tersembunyi di bawah permukaan karya Leonardo da Vinci yang paling terkenal itu.
Cotte, yang diberi kebenaran oleh Muzium Louvre di Paris untuk mengakses potret Mona Lisa pada tahun 2004, telah menggunakan teknik yang dikenali sebagai Layer Amplification Method (LAM) untuk analisis itu.
Teknik ini melibatkan projeksi siri cahaya pada lukisan. Sebuah kamera kemudiannya akan mengukur pantulan cahaya, dan dari pantulan tersebut pembinaan semula potret di sebalik Mona Lisa dapat dilakukan.
Pembinaan semula imej memaparkan seorang gadis lain yang duduk dalam posisi mirip Mona Lisa.
Teori baru?
Leonardo da Vinci dipercayai menyiapkan potret Mona Lisa di antara tahun 1503 dan 1517 sambil berkarya di Florence dan kemudiannya di Perancis.
Debat tentang siapakah Mona Lisa yang sebenar sudah lama berlangsung namun teori yang paling luas diterima pakai ialah beliau merupakan Lisa Gherardini, isteri kepada pedagang sutera Florentina.
Namun Cotte mendakwa penemuannya kembali mencabar teori tersebut. Dia percaya potret wanita yang dibina semula melalui kajian beliau itu merupakan “Lisa” yang sebenar bagi Leonardo da Vinci dan potret Mona Lisa yang dikenali ramai selama 500 tahun itu, sebenarnya wanita lain.
Pendapat pakar
“Memang satu kebiasaan bagi seorang pelukis untuk menindih lukisan asal dengan lukisan baru jika orang yang mengupahnya meminta lukisan tersebut diubah. Jadi tidak aneh jika ada potret lain yang dijumpai di sebalik Monalisa. Namun penemuan ini perlu dianalisis dengan teliti,” ujar Will Gompertz, seorang pengarah seni.
Bagi Profesor Emeritus Sejarah Seni di Universiti Oxford, Martin Kemp, tidak mungkin wujud potret wanita lain di sebalik Mona Lisa. Yang wujud hanyalah evolusi pemikiran da Vinci sepanjang proses beliau menyiapkan potret tersebut.
Pakar sejarah seni, Andrew Graham-Dixon telah menerbitkan sebuah dokumentari bersama BBC yang berjudul The Secrets of the Mona Lisa yang turut mengambil kira kajian Cotte.
Komen Graham-Dixon, “Saya fikir ini antara kisah terbaik tahun ini. Sudah pasti pihak berkuasa di (Muzium) Louvre keberatan untuk menerima semua ini. Mereka tidak akan menamakan semula potret itu kerana itulah sebabnya — selamat tinggal Mona Lisa, dia sebenarnya wanita lain.”
Cotte mengumumkan penemuan beliau pada sidang media di Shanghai Selasa lalu.