no comments

Abu Kassim Lebih Rela Letak Jawatan Daripada Mengambil Tindakan Terhadap Pegawainya

Abu Kassim Lebih Rela Letak Jawatan Daripada Mengambil Tindakan Terhadap Pegawainya.jpg

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berikrar bahawa beliau lebih rela meletakkan jawatan daripada mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawainya yang hanya menjalankan kewajipan mereka di bawah undang-undang.

Abu Kassim berkata demikian dalam memo dalaman yang terbocor dan kini beredar di media sosial.

“Berdasarkan pengalaman saya lebih 30 tahun dalam bidang pencegahan rasuah, saya tahu yang pegawai-pegawai SPRM sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan profesional.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya rela bersara daripada mengambil tindakan ke atas pegawai yang selama ini mempertahankan kebebasan SPRM dan menegakkan keadilan, serta hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan mengikut undang-undang negara,” katanya dalam memo yang telah tersebar di Facebook.

Memo itu dipercayai dikeluarkan ekoran serangan bloger terhadap pegawai SPRM selepas pengarah operasi khas suruhanjaya itu, Datuk Bahri Mohd Zin membuat kenyataan baru-baru ini.

Terdahulu Bahri berkata SPRM berkemungkinan besar akan membuat rayuan terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menutup dua kes berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Rohaizad Yaakob mengesahkan bahawa kenyataan Abu Kassim hanya bertujuan untuk edaran dalaman saja.

“Kenyataan itu bertujuan hanya untuk kakitangan SPRM. Jika telah bocor di Facebook, orang yang bocor ia perlu bertanya kepada diri sendiri di mana integriti mereka,” kata Rohaizad kepada Malaysiakini.

Khamis lalu, Abu Kassim berkata pegawai SPRM mesti mendukung standard etika yang tinggi dan bertanggungjawab terhadap sumpah jawatan mereka.

Abu Kassim turut mengulangi bahawa SPRM tidak mempertikaikan atau mencabar keputusan Peguam Negara untuk membersihkan perdana menteri dengan isu ‘derma’ RM2.6 bilion dan wang RM42 juta SRC International.

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close