PPIM Silap! Bukan Sembilan, Tapi ’10 Dragon’! Polis Sudah Kenalpasti Identitinya!
Pada 19 Oktober lepas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat pendedahan mengejut mengenai kegiatan perjudian haram dan pelbagai aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negara ini didalangi oleh sembilan orang ketua atau digelar ‘9 dragon’ sejak bertahun-tahun lamanya.
Ekoran pendedahan itu, pihak polis telah mengenal pasti sebahagian besar dalang sindiket perjudian di negara ini dan sedang mengumpulkan keterangan ke atas mereka bagi membolehkan mereka didakwa di mahkamah.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata setakat ini lebih 10 individu dikenal pasti di ibu negara, Selangor dan beberapa tempat lain.
“Kami telah mengarahkan ketua-ketua kontinjen untuk mengenal pasti bukan pekerja-pekerja di premis judi tetapi mereka yang terlibat secara tidak langsung iaitu ‘the man behind the scene’,” katanya.
Beliau berkata polis sedang mengumpulkan keterangan yang ada bagi membolehkan dalang-dalang yang dikenal pasti diambil tindakan di bawah peruntukkan undang-undang sedia ada.
“Kami telah merancang tiga fasa dalam usaha memerangi perjudian ini iaitu memastikan semua premis perjudian ditutup, mengenal pasti dalang serta mengumpulkan keterangan untuk diambil tindakan.
“Sekiranya gagal, kita mempunyai alternatif lain untuk ambil tindakan pencegahan yang ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA),” katanya.
Dalam pada itu, Noor Rashid berkata setiap serbuan yang dilakukan ke atas premis judi perlu disertai pegawai polis yang mahir dalam bidang siber selain pegawai yang mempunyai kepakaran mengenai perjudian dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).
Ini kerana katanya, banyak premis judi yang menganjurkan perjudian secara atas talian yang perlu dikenal pasti dan diambil tindakan.
“Kalau ada ketiga-tiga kepakaran ini semasa serbuan, saya rasa tindakan kita akan berjaya dari aspek siasatan dan pendakwaan, jadi di peringkat pertama ini kita akan terus mengenal pasti dahulu premis judi yang terbuka,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata, kegiatan kumpulan ‘sembilan dragon’ itu mampu mengutip sebanyak RM5 bilion sebulan hasil daripada pusat perjudian seluruh negara melalui sistem hierarki (kebal) yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Sistem 9 dragon itu telah lama diamalkan oleh kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan semuanya mempunyai kuasa mengawal di dalam agensi penguatkuasa di negara ini.
Malah, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk menukarkan penguatkuasa yang dirasakan mengganggu-gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.
Disebabkan itu, pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang ‘perlindungan’.
– Bernama, Utusan Online