no comments

16 Individu Dilarang Berceramah Di Johor

Exco Agama Johor, Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata ramai individu di negeri itu pakar mengenai agama dan masyarakat Islam di Johor tidak memerlukan orang luar untuk menjadi penceramah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dokumen oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kepada Sultan Johor yang melarang 16 individu berceramah di negeri itu.

“Ini bukan isu dokumen, ini isu penceramah yang tak dibenarkan berceramah di Johor.

“Di Johor pun ramai lagi orang yang pandai agama, Johor mesti jadi Johor (dan) tidak perlu orang luar datang kalau kita tak benarkan,” kata Abdul Mutalip.

Antara yang tersenarai dalam dokumen itu adalah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pemuda Umno dan penceramah bebas Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Dokumen itu menyebut terdapat sebilangan penceramah dari luar Johor yang berceramah atau mengajar agama Islam di masjid, surau atau tempat awam boleh menimbulkan kekeliruan dan membibitkan perpecahan masyarakat khususnya umat Islam.

Selain itu, ajaran mereka juga didakwa tidak berteraskan ajaran Sunnah Wal Jamaah.

Dokumen itu juga menyatakan majlis agama Islam bersetuju menerima cadangan supaya penceramah yang disenaraikan dilarang berceramah atau mengajar agama Islam di Johor.

Mengulas lanjut, ADUN Layang-Layang itu berkata kerajaan negeri berhak menentukan siapa yang boleh berceramah di negeri Johor berlandaskan undang-undang.

“Kerajaan (negeri) berhak untuk menentukan siapa yang boleh berceramah atau menyampaikan agama di Johor, berdasarkan enakmen yang ada,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa tindakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang menyenaraikannya sebagai individu “mengelirukan” dan melarang beliau daripada berceramah di negeri itu sebagai satu “fitnah”.

Sehubungan itu, Mohd Asri menuntut supaya pihak yang mendakwa beliau dengan gelaran tersebut supaya mengemukakan bukti.

Satu salinan yang kelihatan seperti dokumen oleh MAIJ kepada Sultan Johor, menyenaraikan 16 orang individu yang didakwa sebagai penceramah yang menimbulkan kekeliruan umat Islam dan tidak berteraskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Imej salinan dokumen tersebut diedarkan melalui Whatsapp dan mempunyai tulisan “setuju” bertarikh 31 Disember 2015 di sebelah atas kanan dokumen itu.

“Ia adalah satu fitnah. Saya mencabar pihak pemfitnah itu membuktikannya. Saya rasa, mereka patut disaman fitnah,” kata Mohd Asri.

“Bahkan, semua yang terlibat patut bersatu mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkenaan. Rakyat Malaysia boleh membaca tulisan saya di internet. Apakah mereka menemui hal yang seperti ini?,” kata Mohd Asri dalam aplikasi Whatsapp.

Menurut imej salinan dokumen itu, antara bentuk pengeliruan yang didakwa dilakukan Mohd Asri ialah didakwa memfitnah institusi mufti dan memperlekehkan ulama bermazhab Syafie.

Beliau percaya tuduhan itu dibuat berdasarkan dakwaan seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri dalam satu video yang diedarkan di talian.

Sehubungan itu, Mohd Asri berkata, tindakan yang dilakukan oleh MAIJ dilihat sebagai memalukan kerana mengambil sesuatu tindakan tanpa usul periksa.

Menurutnya lagi, ramai individu yang beliau kenal dalam senarai itu tidak seperti yang didakwa.

Reply