no comments

15 September – Genap 4 Tahun Pemergian TG Datuk Dr Haron Din Di Bumi AS

Hari ini, 15 September, maka genaplah 4 tahun pemergian Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din. Almarhum meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada 15 September 2016 ketika mendapatkan rawatan jantung. Jenazah Almarhum tidak dibawa pulang dan segera disemadikan di California.

Anak Allahyarham, Dr Huda Haron berkata;

“Kami memilih untuk menguruskan jenazah baba dengan sempurna dan cepat. Bukan mudah untuk kami membuat keputusan. Hati amat berat. Baba berpesan beberapa kali kepada kami bahawa di mana dia menghembus nafas terakhir, di situ dia bersemadi. Maka kami akan kebumikan baba di California.”

Pemergian Tuan Guru Datuk Dr Haron Din ini merupakan satu kehilangan yang cukup besar bagi rakyat Malaysia terutama buat seluruh umat islam.

Bekas Mursyidul Am PAS itu cukup sinonim sebagai pengamal perubatan islam selaku pengasas Darussyifa’.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1975 sehingga 1976, menjadi timbalan dekan pada tahun 1977 hinga 1985 dan menggalas tugas sebagai Profesor pada tahun 1986 sehinggalah bersara.

 

Beliau juga merupakan Ahli Majlis Penasihat Syariah untuk CIMB, Bank Negara dan juga Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa untuk Negeri perlis dan Selangor.

Ketinggian ilmu beliau dalam bidang agama membantu menyelesaikan banyak masalah ummah sehingga diiktiraf dan dilantik untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia pada tahun 1976 sehingga 1977.

Selain dari itu beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Panel Penasihat Pusat Pendidikan Islam, Penasihat Kebajikan Kakitangan Pekerja-Pekerja islam PORIM Malaysia dan banyak lagi. Terlalu banyak untuk kami senaraikan.

Beliau juga banyak menyumbang dalam bentuk penulisan dengan menghasilkan buku-buku berkaitan pengajian islam, perubatan islam dan permasalahan fiqah semasa termasuk buku teks untuk Sekolah Menengah berjudul Obor Islam bermula dari siri 1 sehingga siri 5.

Bukan setakat itu sahaja, beliau juga sangat aktif dalam aktiviti pengajian agama. Contohnya seperti memberi bimbingan kursus haji, memberi ceramah di kediaman YB Menteri Besar Selangor untuk kaki tangan kerajaan, mengambil bahagian dalam siri Ehwal Islam di Radion Televisyen Malaysia dan banyak lagi.

Terlalu banyak sumbangan beliau dan jasa pada negara khasnya buat umat islam di seluruh Malaysia. Panjang jika mahu dihuraikan satu persatu, tidak terhitung jumlah kebajikan yang telah beliau lakukan terutama dalam menyelesaikan masalah ummah.

Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya dan mengampuni Al-Marhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hamba-Nya yang soleh. Aameen Ya Rabbal A’lamin.

Reply