no comments

Tuah Buat 10 Orang Jururawat HSA, Dapat Hadiah Kereta Daripada Sultan Johor

Tuah buat 10 jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan 10 kereta jenis Perodua Myvi setiap seorang sebagai tanda penghargaan atas khidmat yang diberikan selama ini.

Dalam muat naik terbaharu di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kenderaan berkenaan bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan serta khidmat mereka kepada baginda dan keluarga Diraja Johor.

Penyelia Jururawat, Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak tahun 2006, melahirkan perasaan syukur atas kurniaan berkenaan.

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.

“Besar sungguh nilainya kepada kami. Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Johor serta Keluarga Diraja Johor,” katanya.

Turut berkongsi perasaan syukur, Nuraini Aziz, 28, yang hadir untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak pada tiga hari yang lalu.

“Saya bersyukur kerana ini adalah satu kenangan yang sangat istimewa. Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor,” katanya.

Kenderaan berkenaan disampaikan kepada mereka dalam satu majlis di Kasawari Motors Sdn. Bhd di Larkin, Johor Bahru oleh Pengarah Kasawari Motors, Muhammad Fahmi Bin Datuk Seri Paduka Dr. Hassan.

Reply