no comments

Kerana Viral… Wira Penyelamat ‘Diserang’ Selepas Terjun Selamatkan Wanita Cuba Bunuh Diri Di Jambatan Pulau Pinang

Niat murni dan aksi berani polis bantuan, Zaidi Salleh, dengan mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan seorang wanita yang cuba membunuh diri dengan terjun ke laut di Kilometer 9.9 Jambatan Abdul Halim Muadzam Shah (JAHMS), Batu Kawan, semalam, nyata mendapat reaksi negatif.

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) bagaimanapun menafikan dakwaan beberapa portal berita mengatakan bahawa polis bantuan itu adalah ‘tidak berpengalaman‘.

Pengurus Besar Kanan JKSB, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata, anggota polis bantuan JKSB sudah diberi latihan yang betul untuk menangani situasi tersebut.

“Pegawai kita diberi latihan berenang, menyelam, pertolongan cemas, pengurusan lalu lintas dan lain-lain kemahiran menyelamat yang berkaitan.

“Ketika pengawal jambatan kami, Zaidi Salleh melompat ke perairan untuk menyelamatkan wanita itu, dia bersedia untuk menghadapi situasi ini,” katanya kepada The Star ketika ditemui di pejabat JKSB hari ini.

“Ia tidak seperti laporan yang ditulis dalam talian yang menyatakan bahawa Zaidi masuk ke dalam air terlebih dahulu, kemudian berpaut kepada bekas ikan yang dibuang untuk digunakan sebagai pelampung.

“Dia tidak menyelam secara membuta tuli ke dalam air tanpa merancang kaedah untuk menyelamat terlebih dahulu,” tegasnya.

Beliau juga memuji Zaidi dan anggota polis bantuan lain yang berada di tempat kejadian kerana membantu wanita itu.

The Star melaporkan bahawa Zaidi dan rakannya Mohammad Fitri Abu Bakar berada di unit kedua yang bertindak terhadap keadaan kecemasan selepas pengawal Megat Taufik Megat Kamaruddin mula-mula menyedari terdapat kereta yang tidak memiliki pemandu di jambatan itu kira-kira pukul 11 ​​pagi Rabu.

 

Menurut polis bantuan berusia 52 tahun itu, dia menganggap wanita itu macam anak sendiri menyebabkan dirinya nekad untuk terjun ke laut bagi menyelamatkannya.”

Zaidi berkata, dia menerima panggilan daripada rakannya yang bertugas meronda di jambatan itu lalu bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa sedang terkapai-kapai meminta pertolongan.

Katanya, dia memikirkan mangsa seperti anak sendiri menyebabkannya tidak sampai hati melihat keadaan itu lalu terjun dari ketinggian antara 18 hingga 20 meter demi menyelamatkan nyawa wanita itu.

“Saya memang tidak fikir panjang ketika itu kerana melihat mangsa menjerit meminta tolong sekali gus menimbulkan rasa kasihan apatah lagi dia seolah-olah seperti anak saya sendiri.

“Bagaimana perasaan saya sebagai seorang bapa sanggup membiarkan ‘anak’ menjerit dan meminta pertolongan seperti itu lalu terus terjun untuk menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Zaidi yang berasal dari Permatang Batu, Bukit Mertajam memberanikan dirinya berikutan mempunyai pengalaman dan kepakaran berenang dalam tempoh lama di laut kerana pernah bertugas sebagai anggota tentera udara dan komando.

“Syukur dengan kelebihan yang dianugerahkan ini kerana saya dapat berbakti dan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

“Saya tahu mangsa tidak sedar apa yang dilakukannya kerana berada dalam keadaan yang amat tertekan. Jika tidak, dia tidak menjerit ketakutan seperti itu.

“Malah, wanita itu juga hanya menangis sepanjang kami terapung di laut selama 45 minit, dan dia sendiri tidak pasti dengan apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, mereka yang diselamatkan pasukan penyelamat kemudian dibawa ke Jeti Batu Musang di Batu Kawan dengan bot nelayan yang berada di lokasi.

Mstar, HMetro

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close