no comments

“Saya Tak Pernah Menyibuk Urusan UMNO, Tak Turun Kempen Dah” -Najib

Selepas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, menyarankannya supaya menjarakkan diri daripada Umno semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini tampil membuat kenyataan balas.

Najib berkata, dirinya tidak pernah ‘menyibuk’ dalam urusan pentadbiran parti itu seperti didakwa beberapa pimpinan lain sejak melepaskan jawatan presiden.

Malah katanya, penggantinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bebas untuk membuat keputusan bahkan Najib memaklumkan, sentiasa memberi sokongan penuh dan kerjasama kepada kepimpinan Ketua Pembangkang itu.

“Saranan untuk saya jarakkan diri daripada Umno, saya tak fikir perkara itu jadi masalah kerana, lepas tak lagi menjadi Presiden Umno, saya tidak pernah lagi campur tangan dalam pentadbiran Umno.

“Zahid bebas untuk buat keputusan contohnya lantikan dalam organisasi Umno, termasuk juga calon BN untuk PRK Dun Sungai Kandis, saya tak pernah masuk campur malah mendukung penuh penuh kepada kepimpinan beliau,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Najib menegaskan, beliau bersuara kerana mempertahankan dasar, menghapuskan salah faham dan membetulkan beberapa manipulasi fakta dan angka.

“Saya menjelaskan kedudukan sebenar,saya cuma mempertahankan diri untuk keadilan.

“Saya juga patut mendapat hak sebagai warganegara untuk menerangkan dasar dan alasan mengapa saya melakukan sesuatu perkara itu,” jelasnya.

Malah menurutnya, kehadirannya dalam siri kempen PRK Dun Sungai Kandis sebagai memenuhi undangan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan juga atas dasar kenang budi kerana sokongan yang berikan kepadanya ketika ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya dijemput oleh calon BN, Datuk Lokman. Itu bukan perancangan asal saya untuk pergi ke sana,” katanya.

Bagaimanapun, Najib menyatakan beliau tidak akan lagi turun berkempen untuk BN dalam siri kempen PRK Dun Balakong dan Seri Setia kerana ingin berehat.

“Tak perlu, saya nak berehat,” katanya ringkas.

 

Mengulas lanjut Najib berkata selaku bekas menteri kewangan perlu beri penerangan mengenai hutang negara iaitu bukannya RM1 trilion seperti yang didakwa tetapi RM686 juta selepas beliau tidak lagi menjadi perdana menteri.

“Dan RM19 bilion yang dikatakan hilang, saya percaya ianya tidak hilang.

“Dan saya mahu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menjalankan penyiasatan penuh dan membentangkan laporan dengan segera.

“Selain itu ada juga isu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyebabkan harga barang akan naik,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilaporkan berkata, UMNO perlu ‘merehatkan’ Najib daripada sebarang kempen pilihan raya bagi memastikan permainan persepsi dalam kalangan pengundi tidak terus menjadi ‘racun’ kepada kebangkitan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pula berkata pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRK DUN Sungai Kandis adalah manifestasi keengganan parti menyesuaikan diri dengan realiti baharu, selain menegaskan Najib yang sedang diadili, bukan UMNO.

Manakala Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, menyatakan bersetuju dengan saranan beberapa pihak yang mahu Najib menjauhkan diri daripada urusan parti berkenaan.

“Itu pandangan sesetengah pihak dalam UMNO bahawa bekas pemimpin perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pemimpin baharu untuk menjalankan tugas.

“Saya setuju pemimpin baharu UMNO perlu diberi ruang sepenuhnya untuk meletakkan hala tuju baharu.

“Itu sebabnya bekas Presiden perlu memberi ruang, begitu juga bekas calon Presiden patut bagi ruang,” katanya hari ini.

Reply