no comments

Jam Tangan Paling Mahal: ‘Rolex Daytona RM3.4Juta Hadiah Dari Putera’ – Najib

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata; jumlah dan nilai barangan yang dirampas di rumahnya sebagai sengaja dibesar-besarkan manakala sidang akhbar yang diadakan untuk mengumumkannya, sebagai “dendam politik” terhadap keluarganya.

Jam tangan berjenama Rolex Daytona yang dikatakan bernilai RM3.4 juta merupakan jam tangan yang paling mahal dalam rampasan itu.

Namun, Najib mengatakan jam itu adalah hadiah yang diterima daripada seorang menteri dalam negeri yang juga putera dari sebuah negara di Asia Barat.

Dedahnya, jam itu diterimanya bersama beberapa barangan berharga lain ketika menteri berkenaan melawat Malaysia Mac lalu.

Pada 15 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saudi, Putera Abdulaziz Saud Al-Saud mengunjung Najib di pejabatnya di bangunan Parlimen. Mesyuarat itu adalah yang atur cara terakhir putera itu semasa lawatan tiga harinya ke Malaysia.

Najib mendakwa, kebanyakan barangan yang disita polis adalah hadiah dari rakan-rakan, kehormat asing termasuk royalti untuk pelbagai majlis antaranya lawatan rasmi dan acara keluarga seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan pertunangan.

“Polis sepatutnya menyatakan item ini bersama dengan beberapa barangan lain yang berada dalam kotak dengan lambang diraja negara asing itu. Fakta ini tidak sepatutnya ditinggalkan.

“Beberapa barangan yang dirampas adalah milik saudara-mara dan pihak ketiga. Mereka kini telah memulakan proses undang-undang untuk menuntut barangan mereka dari pihak polis,” katanya dalam satu temubual.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan kuantiti dan penilaian dibuat polis terhadap barangan yang disita dari kediamannya dalam sidang akhbar semalam.

“Penilaian sedemikian adalah subjektif dan tertakluk kepada masa hadiah itu diberikan.

“Memandangkan sebahagian besar barangan adalah hadiah yang terkumpul selama beberapa dekad, keluarga tidak menyedari betapa banyaknya yang dibayar oleh mereka yang memberikan barang-barang tersebut,” katanya.

Bekas Presiden Umno itu berkata, banyak barangan yang disita polis itu juga diletakkan di dalam kotak yang sudah dilabelkan pegawai bertugas dengan keterangan, foto, tarikh pemberian dan identiti individu yang memberikan hadiah itu.

“Jika polis menghubungi keluarga kami bertanyakan perkara ini, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya. Dengan sedaya upaya, kami akan membantu polis mengenal pasti siapa yang memberikan hadiah sepanjang dekad ini,” katanya.

Bagaimanapun, polis seterusnya menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak mendapat senarai lengkap barang rampasan dari premis yang dikaitkan dengannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, senarai penuh wang tunai dan barang rampasan telah diberikan kepada penghuni tempat masing-masing.

“Senarai dah bagi pada tuan rumah. Semua tempat yang kita geledah ada bagi senarai penuh. Ia diberi pada orang yang ada di rumah itu. (Senarai) telah diberi semua pada mereka. Apa lagi dia nak?

“Diberi pada semua yang ada penghuni. Kalau ada pekerja kita bagi pada pekerja,” katanya.

Semalam, Amar Singh dalam satu sidang media mendedahkan nilai barangan rampasan di enam premis dikaitkan dengan Najib bulan lalu berjumlah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Reply